About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Tuesday, September 7, 2010

Khilafku bukan Isteriku 5

Sofia menghentikan gerakan jemarinya apabila perutnya terasa menegang. Kebelakangan ini, semakin kuat terasa sengal-sengal di bahagian perutnya. Bayi di dalam perut juga semakin aktif. Tidur malamnya juga terganggu. Mengikut doctor, bayi ini dijangka keluar melihat dunia 3 minggu lagi. Debaran semakin kuat terasa.

Bagaimana akan dia meneruskan hidup tanpa sesiapa di sisi? Kelak, dia perlu keluar dari sini. Takkan selama-lamanya dia mahu menyusahkan Kak Kiah? Sofia serik. Dia mahu berdikari. Selama hidupnya, dia tidak pernah keseorangan begini. Dan kini, dia perlu menjaga seorang lagi. Biarlah dia pula menjaga, dia sudah tidak mahu dijaga sesiapa. Cukuplah Rabbul-Izzati bersamanya.

Sofia menghela nafas dalam. Terkenang peristiwa tempoh hari. Kedatangan Marina yang mengejutkannya.

********

Tok! Tok! Sofia mengangkat muka seraya mendengar ketukan di pintu.

“Masuklah Kak Kiah…”

Dia yang sedang membasahkan lidah dengan ayat suci al-Quran meletakkan naskhah kecil itu di atas meja di tepi katilnya. Biarpun bacaannya masih memerlukan pembetulan, Sofia tidak mahu duduk diam saja. Sekurang-kurangnya dia dapat mempraktikkan cara bacaan yang betul yang telah dipelajarinya selama ini.

Seperti yang dijangkanya, Kak Kiah muncul dengan senyum lebar.

“Buat apa?”

“Tengah dengarkan ayat al-Quran untuk baby…” Sofia kehairanan melihat Kak Kiah berdiri saja di muka pintu.

“Oh… Erm, Sofia, sebenarnya, ada orang nak jumpa Sofia.”

Sofia terdiam. Senyumannya pudar. Dia tidak pernah mengundang tamu ke sini. Siapa tamunya itu?

“Siapa?”

Kak Kiah tidak menjawab, sebaliknya dia mengundurkan badannya ke belakang sedikit, memberi laluan kepada tetamu yang dimaksudkannya. Sofia terkedu melihat wajah itu. Dan sememangnya dia tidak menjangka akan bertemu lagi dengan insan itu. Sekurang-kurangnya tidak dalam masa terdekat ini.

Marina menghampiri Sofia yang kaku di atas katil.

“Assalamualaikum, kak Sofia..”

“Waalaikumussalam…” Sofia menjawab dengan suara perlahan. Dia tahu status Marina di sisi Hilman sekarang.

Dengan tidak semena-mena, pilu yang terpendam mekar kembali. Marina madunya. Mereka sudah berkahwin seperti yang diinginkannya. Hilman dan Marina. Entah mengapa, senyum manis Marina mengundang pedih di ulu hatinya.

“Akak, sihat?”

Sofia angguk. Dia masih bingung. Mengapa Marina mencarinya? Bukankah dia sudah menyerahkan Hilman kembali pada mereka yang berhak?

“Akak…”

Sofia tidak membalas. Cuma matanya berbicara, merenung wajah Marina sedalam-dalamnya, meluahkan kekacauan yang melanda di dalam dirinya sekarang.

“Bayi sihat?”

Sofia angguk lagi.

Marina tertunduk seketika apabila renungan Sofia masih belum beralih. Dia sedar Sofia sedang menerima kejutan. Pastinya Sofia tidak mahu bertemunya langsung selepas apa yang berlaku. Jika ianya berlaku.

Marina mengangkat muka kembali. Dicapai tangan Sofia di sisi katil lantas digenggamnya. Hangat. Sofia tidak membantah. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya kala itu.

“Akak, baliklah ke rumah. Abang Hilman perlukan akak..” Marina memulakan.

Sofia masih diam. Matanya sudah berkaca. Sepatah saja lagi dari Marina, air matanya akan tumpah. Mengapa Marina ke mari?

“Marina…” suaranya agak tertahan-tahan. Dia menolak tangan Marina perlahan dengan senyum pahit.

“Jangan macam ni. Mak tak pernah suka akak, dan tempat akak bukan di situ. Itu tempat Marina. Akak tak boleh kembali. Akak dah berjanji dengan mak, dan akak akan penuhi janji akak. Tolong pergi dari sini. Akak rayu dengan Marina… tolong ya…” giliran Sofia pula meminta.

Marina tersenyum seraya menggeleng.

“Akak, tempat seorang isteri di sisi suami, dan tempat seorang anak, dengan ibu dan ayahnya. Anak akak akan lahir tak lama lagi. Dia perlukan seorang ayah. Dan abang Hilman juga perlukan akak. Dia rindukan akak. Kesian abang Hilman. Dia sedih sangat bila akak tak ada.” Marina memujuk lagi.

Sofia pula menggeleng, namun tiada senyum menghias wajahnya.

“Tak Marina. Akak dah berjanji dengan mak. Akak takkan kembali. Akak minta maaf. Marina, tolong pergi dari sini, dan akak rayu dengan Marina, jangan beritahu sesiapa pasal akak di sini. Tolong akak, Marina…” air matanya sudah menitis membasahi pipi.

Marina terpempan.

“Tapi akak…”

“Marina, tolonglah. Akak tak nak pisahkan seorang ibu dan anak cuma kerana kesalahan diri akak di masa lampau. Ini saja peluang akak menebus diri, Marina. Akak bahagia sekarang, dan biarlah akak hidup tanpa memberi kesusahan kepada orang lain untuk kali ni, selagi nyawa dikandung badan. Cukuplah akak membuat dosa selama ni. Akak bahagia Marina. Kebahagiaan abang Hilman dan kegembiraan mak lebih penting buat akak dari segala-galanya.”

“Tapi mak pun nak akak pulang…” cepat-cepat Marina memotong.

Sofia terdiam seketika. senyum pahit diukir. Air matanya dikesat.

“Mak takkan terima akak sampai bila-bila. Siapa yang nakkan gadis macam akak untuk dibuat menantu, Marina? Siapa? Akak faham, dan akak tau, itu balasan dunia untuk akak. Dan biarlah akak menanggung semuanya sendiri.”

“Akak, Marina tak tipu akak. Mak pun tengah mencari akak sekarang. Abang Hilman pun sama. Mereka semua nak akak pulang…” rayu Marina lagi.

Sofia bingkas dari katil, seolah-olah apa yang diperkatakan Marina tidak memberi apa-apa kesan padanya.

“Maaf, akak nak ke bilik air. Akak harap, bila akak kembali, Marina dah tak ada. Dan akak rayu dengan Marina. Kalau Marina betul-betul ikhlas mahu akak pulang, Marina jangan beritahu sesiapa tentang akak di sini. Itu saja pinta akak. Kalau tak, mungkin akak akan pergi lebih jauh dari sini…” Sofia beredar ke pintu, meninggalkan Marina yang termangu-mangu di situ.

“Assalamualaikum..” ucap Sofia seraya berlalu.

Marina merenung susuk Sofia sehingga hilang di balik dinding. Dia melepaskan keluhan berat.

***********

Hilman berdiri tegak di tepi sofa. Dia merenung ke luar, kosong. Marina duduk di sebelah Safinah, berhadapan dengan Puan Syarifah. Wajah masing-masing bingung. Hilman menghela nafas dalam dan melepaskannya berkali-kali.

Sofia sudah membuat keputusan, dan dia begitu tegar mempertahankan keputusannya. Apabila dia mendapat tahu kedudukan Sofia dari Marina, hatinya gembira tak terkata. Namun, harapannya menjauh apabila Marina memberitahu amaran Sofia. mengapa Sofia berkeras?

“Ni semua salah mak. Hilman, mak tau mak salah. Mak tak sangka pulak sampai macam ni jadinya…” Puan Syarifah merintih.

Pasti Sofia terluka dengan tindakannya selama ini. Sungguh dia menyesali perbuatannya. Sofia patut diberi peluang, bukan disisihkan. Hilman menggeleng.

“Mak, bukan salah mak. Kita akan bawa Sofia balik. Walau macam mana pun.” Janji Hilman.

“Macam mana?” Safinah pula bertanya.

Hilman terdiam kembali. Semua mata tertumpu padanya. Dia juga tidak pasti.

“Kita… semua pergi sana.” Cadang Hilman yakin.

Marina angguk setuju. Puan Syarifah turut angguk laju.

***********

Dengan penuh debaran, mereka berempat menuju ke arah pejabat pengurusan Rumah Intifada bagi mendapatkan kebenaran bertemu Sofia.

Salam diberi. Hilman menelan liur. Amat berharap Sofia masih di situ.

“Err, boleh kami berjumpa dengan penghuni bernama Sofia?”

Pekerja di pejabat itu mengangkat kening seraya menggeleng.

“Dia tak ada.”

Hilman bagaikan disambar halilintar. Sofia, dah pergi lagi?

Yang lain turut terkedu. Lemah lutut Puan Syarifah. Mujur Marina dan Safinah cepat menyokong tubuhnya dari jatuh.

“Dia di hospital. Baru tadi dibawa pergi. Dia mungkin dalam bilik bersalin sekarang.” Beritahu pekerja itu seterusnya, membuatkan mereka melepaskan nafas kelegaan.

Wajah Hilman berbunga riang.

“Hospital mana?”

“Hospital besar.”

“Baiklah. Terima kasih ya!”

Tanpa berlengah, mereka terus beredar. Sofia harus pulang, tekad Hilman.

***************

Sofia membuka mata perlahan-lahan, cuba mengingat kembali di mana dia berada sekarang. Siling putih menghiasi pandangannya.

“Puan…”

Sofia menoleh. Seorang misi berdiri di sisinya, dengan bungkusan putih yang bergerak-gerak di tangannya.

“Puan boleh susukan anak puan. Perempuan.” Misi itu tersenyum manis.

Sofia terkedu. Dia menyambut bungkusan itu. Seorang bayi yang comel kini berada di dalam tangannya.

“Dah diiqamahkan ke?” soal Sofia. misi itu menggeleng.

“Biar saya buat.” Satu suara mencelah. Sofia terkedu. Hilman menghampiri mereka dengan wajah yang tenang.

Bayi di tangan Sofia diambilnya perlahan, dan dia mula melaungkan iqamah. Sofia terharu. Kolam matanya mula terasa berat. Air matanya menitis membasahi pipi.

“Kak Sofia…” Sofia menoleh. Safinah, Marina dan Puan Syarifah berdiri di depannya, dengan senyuman. Kak Kiah yang menemaninya sedari tadi turut berdiri di belakang mereka.

Pantas Sofia menekup mulutnya, cuba menahan tangis yang mahu keluar. Puan Syarifah tidak menanti lama. Dia menerpa ke arah Sofia dan memeluknya erat.

“Maafkan mak. Maafkan mak, Sofia…”

Sofia tidak mampu membalas. Esakannya semakin kuat. Terharu dengan kehadiran mereka. Sangkanya, dia akan menyambut kedatangan si cilik itu seorang diri. Safinah turut menyertai mereka. Marina memerhati dengan tangis gembira.

************

“Abang… tak nikahi Marina?”

Hilman geleng.

“Kenapa?” laju dia bertanya walaupun Sofia pasti dia sudah ada jawapannya.

Hilman tersenyum manis. Dia mengusap wajah Aisya Syifa yang sedang lena tidur dalam pangkuan Sofia setelah disusukan.

“Sebab abang cuma ada seorang saja isteri, iaitu Sofia.” jawab Hilman tenang.

Mereka berdua saja di situ kala itu. Marina sengaja membawa yang lain keluar. Mahu memberi peluang kepada mereka berdua untuk menyelesaikan apa yang tertangguh.

“Tapi… Marina…”

“Dia yang tak nak kahwin hari tu..”

“Ye ke? Kenapa?”

“Tanyalah dia…” ujar Hilman penuh berahsia.

Sofia tidak membalas lagi.

“Sofia, tolong jangan buat macam ni lagi. Janji dengan abang, ok?”

Sofia tertunduk malu. Dicapainya tangan Hilman, disalami dan diciumnya lama.

“Ampunkan Sofia bang. Sofia tak tau abang akan bersedih sampai macam ni…” pilu hatinya melihat tubuh Hilman yang sedikit susut, dan wajah yang agak tidak terurus.

“Janji, jangan pergi lagi ya…”

Sofia angguk.

“Janji..”

Hilman memeluk bahu Sofia mesra. Erat.

***********

Ulangtahun kelahiran Aisya Syifa yang pertama disambut meriah, dengan jemputan yang boleh tahan ramainya, apartment Sofia dan Hilman riuh-rendah dikunjungi jiran dan orang kampung. Puan Syarifah yang mengendong Aisya Syifa begitu ceria menyambut dan melayan tetamu. Di dapur, Marina dan Safinah turut membantu Sofia yang tak menang tangan menyediakan hidangan. Hilman pula tidak kelihatan di mana-mana.

“Jangan lupa tau, kak Sofia. majlis hujung minggu ni.” Sempat Marina mengingatkan dalam sibuk.

Sofia tersenyum manis.

“Ya, akak wajib pergi. Akak tau…” Sofia meyakinkan Marina.

“Wah, kali ni, kak Marina betul-betul akan kahwin kan?”

Marina mencubit lengan Safinah perlahan.

“Mestilah jadi. Takkan tak jadi..” marah Marina.

Sofia tergelak kecil.

“Mana tau, nanti tak jadi lagi macam hari tu…” Safinah mengusik lagi.

Marina tersenyum senang.

“Hari tu bukan tak jadi. Memang takkan jadi.”

Mereka sama-sama ketawa. Safinah beredar ke ruang tamu membawa buah-buahan yang telah dipotong.

Sofia menghampiri Marina.

“Marina, terima kasih..” ucapnya perlahan.

Marina tersenyum.

“Akak, Marina tak buat apa-apa pun…”

“Boleh akak tanya sikit?”

“Tanyalah. Apa dia?”

“Kenapa… Marina tak jadi kahwin hari tu?”

Marina tersenyum nipis.

“Sebab Marina pun nak cari lelaki yang cuma boleh menyayangi Marina sepenuh hati. kalau Marina kahwin dulu, mesti rugi kan? Sebab Marina tak mungkin dapat madukan suami Marina dengan tunang Marina sekarang..” jawab Marina berlucu.

Sofia ketawa kecil.

“Marina, apa-apa pun, terima kasih ya.”

Marina turut tersenyum. Terngiang-ngiang kembali kata-kata Hilman sebelum mereka dijadualkan bernikah tahun lepas.

“Abang tak mungkin dapat cintakan Marina macam mana abang cintakan kak Sofia. sebab cuma Sofia isteri abang. Walaupun kelak Marina dah sah menjadi isteri abang, abang cuma akan ada seorang isteri. Maafkan abang.”

Mereka beredar ke depan. Sofia melilau melihat sekeliling.

“Mana abang Hilman?” soal Sofia sendiri. Safinah yang mendengar jungkit bahu.

“Entah, dari tadi tak ada.”

Tiba-tiba loceng rumah berbunyi. Sofia pantas mendapatkan tetamu yang baru datang.

Pintu terkuak. Hilman berdiri di situ, dan di belakangnya, Dato' Hilmi dan Datin Syafi tersenyum mesra. Sofia kelu.

“Mama, papa…”

“Sofia..” mereka berpelukan mesra sambil diperhati Hilman yang turut tersenyum.

“Maafkan mama dan papa ya. Kalau tak kerana Hilman, mungkin hati kami takkan terbuka lagi sekarang.” Ujar Dato' Hilmi.

Sofia mengangguk dalam tangis.

“Maafkan Sofia papa, mama. Sofia tak berniat nak ketepikan mama dan papa..”

“Kami faham. Hilman dah jelaskan.” Ujar Dato' Hilmi lagi.

Kini Sofia menangis dalam pelukan Hilman pula.

“Dah, jangan menangis lagi. Hari ni kan birthday Aisya? Jom, kita potong kek.” Ajak Hilman seraya mengesat pipi Sofia lembut.

Mereka beriringan menyertai yang lain. Sofia memanjat syukur.

Alhamdulillah… Taubat itu indah. Dan keluargaku kini di sisiku. Cuma Engkau yang layak dipuji, ya Allah. Atas semua yang berlaku. Mendung telah berlalu, dan kini, matahariku bersinar terang. Subhanallah, Maha Suci Allah, dari Engkau kepahitan itu, dan dariMU jugalah bahagiaku...

13 comments:

  1. Thank you for this Raya ending. Sesuai dengan Ramadan dan Syawal yang mengajak supaya kita bermaaf-maafan.
    Satu aje... kalau lelaki dah kawin empat, dalam situasi manakah boleh pakai clause 'Isteriku cuma satu.....'? he he...

    ReplyDelete
  2. salam...
    nk tanya, nvl anaknya anakku jua ble nk kluar kat psrn?

    ReplyDelete
  3. alahai..
    sambung lagi ya~

    ReplyDelete
  4. Best! Best! Best! Congrates!!!

    ReplyDelete
  5. terbaik ! tersentuh sangat ! :)

    ReplyDelete
  6. sangggatttt best........ gud job..<3

    ReplyDelete
  7. tahniah..mmg menarik..lain dr yg lain..:)

    ReplyDelete
  8. best3x....1st time bca plot cite mcm ni...byk konflik..tpi, sdp di baca....truskn usaha!

    ReplyDelete
  9. salam dik..

    satu pengorbanan yg tak sia sia seorg menantu pada mertuanya.

    ReplyDelete