About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Tuesday, January 26, 2010

Khilafku bukan Isteriku

Hilman menaikkan kotak kosong yang terakhir ke atas lori kecilnya. Dilap peluh dengan kain putih yang sudah kekuning-kekuningan yang tersangkut di bahunya sebaik semua barangannya sudah dinaikkan ke atas lori.

Alhamdulillah, rezeki hari ni memang banyak.

Dia kemudiannya masuk ke dalam lorinya, dan dipandu lori itu pergi meninggalkan tapak pasar tani yang menjadi tempat dia mencari rezeki dengan menjual ayam.

Sepatutnya dia dengan pembantunya bersama berniaga hari ini, tapi Raimi terpaksa bercuti kerana isterinya bersalin. Hilman tersenyum nipis mengenangkan pembantunya itu yang sudah mempunyai dua orang anak. Begitu murah rezekinya sejak mendirikan rumah tangga 3 tahun lalu.

Puan Syarifah yang sedang menjahit menjenguk ke luar apabila bunyi lori memecahkan keheningan petang itu.

Dia kemudiannya bingkas, ke pintu untuk menyambut kepulangan Hilman.

“habis ayam?” soalnya sebaik wajah Hilman terpacul.

Hilman angguk.

“Alhamdulillah habis. Penat jugak sebab sorang saja hari ni..” adu Hilman.

Disalami tangan ibunya itu sebelum dia melabuhkan punggung di atas simen di muka pintu.

Puan Syarifah tersenyum senang.

“rezeki anak Raimi lah tu…”

Hilman sengih.

“ya lah..”

“hah, kamu bila pulak? Mak rasa duit kamu tu dah lebih dari cukup nak kahwin..” sengaja Puan Syarifah mengusik anak laki sulungnya itu.

Hilman senyum nipis. Dikibas-kibaskan kain di lehernya ke muka.

“nantilah mak…”

Puan Syarifah mencebik.

“dari dulu sampai sekarang, nanti, nanti, duit banyak tak ke mana. Untuk siapa duit kamu yang banyak tu kalau bukan untuk anak bini nanti? Tapi kalau tak kahwin-kahwin lagi sampai sekarang, macam mana?”

Hilman diam, dihela nafas dalam.

“mak berkenan dengan anak Lebai Talib. Kita pergi meminang ya?” Puan Syarifah cuba memujuk.

Sudah acap kali dia mengutarakan isu kahwin dengan Hilman, dan acap kali juga Hilman menolak dengan baik.

Hilman mengeluh perlahan. Dia tahu tujuan ibunya menimbulkan hal kahwin. Kerana dia betul-betul mahukan anak gadis Lebai Talib sebagai menantu.

Wajarkah dia menolak lagi? Mungkin ini jodohnya. Siapa tahu?

“kamu tak ada suka sesiapa kan?” tiba-tiba soalan itu pula ditanya.

Hilman mendongak.

“tak ada masa lah Hilman nak mencari, mak. Hari-hari tengok ayam..” seloroh Hilman.

Memang benar dia tidak menunggu sesiapa, tapi hati ini begitu sukar untuk mengatakan ya pada permintaan ibunya. Mengapa? Hilman sendiri tidak pasti.

Hilma akhirnya bingkas.

Dicapai tangan ibunya dan digenggam erat.

“mak, Hilman buat solat istikharah dulu. Esok, Hilman bagi jawapan, ok?”

Puan Syarifah diam, sebelum dia mengangguk lambat-lambat.

“jangan lama-lama, nanti dia dikebas orang.” Puan Syarifah mengingatkan.

Hilman senyum lagi. Dia kemudiannya beredar ke biliknya, meninggalkan ibunya yang penuh mengharap.

*******

“ya Allah, kau yang Maha Mengetahui, Maha Agung, yang Menguasai seluruh alam. Aku Cuma hamba yang lemah, yang telah ditentukan rezekiku, jodohku, ajal mautku, semasa di alam roh lagi. Ya Malik, jika jodohku ialah dia, maka kau berikanlah petunjuk kepadaku. Namun jika dia bukan orangnya, maka berikanlah tanda, sebelum ada hati-hati yang terluka kerana keterlanjuran ini. Jika ditakdirkan aku bersendirian sehingga ke akhir hayatku, maka kurniakanlah kepastian dan kesabaran pada hati ini, ya Allah. Engkau yang memiliki setiap hati, dan Engkau yang mengawalnya jua. Aku berserah kepada Mu, hanya pada Mu, ya Allah, ya Rabbal Alamiiinn..”

Hilman meraup wajahnya dengan segunung harapan. Resah. Jawapan apa yang patut diberikan kelak?

Dan malam itu, dia tidur tanpa sebarang mimpi atau ilham mengunjungi. Tidurnya begitu lena. Sehingga beduk berbunyi menandakan masuknya waktu subuh.

*********

“Iman..” Hilman yang sedang menyusun kotak-kotak polisterin di belakang lorinya mengeluh perlahan.

“ya mak..”

“dah buat keputusan?” soal ibunya.

Hilman menarik nafas dalam. Bolehkah dia berterus-terang? Wajarkah dia berbohong demi menjaga hati ibu yang amat dicintainya?

“ibu buatlah persediaan untuk meminang. Iman ikut saja..” nadanya berat.

Namun Hilman sedar, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata?

Tidak dia lihat wajah ceria Puan Syarifah mendengar kata putus itu. Rencananya selama ini akan berjalan petang ini juga. Senyumnya meleret hingga ke telinga apabila dia menghilang ke dalam rumah. Gagang telefon dicapainya.

*********

“Man, ayam sekor. Cincang ya..” seorang pelanggan tetap membuat tempahan. Hilman yang sedang ligat memotong ayam seorang pelanggan lain mengangguk faham.

Raimi di sebelahnya juga tak kurang sibuknya.

“murah rezeki kau, Mi..” puji Hilman dalam kesibukannya.

Raimi tersengih.

“murah rezeki? Kau nak naikkan gaji aku ke?” seloroh Raimi.

Hilman turut senyum.

“kalau kau rajin, hmm… aku akan pertimbangkan..”

Wajah Raimi bersinar gembira.

“serious ke ni?”

Hilman jungkit bahu. Wajah Raimi berubah hampa.

“alah, main-main pulak kau..”

Hilman ketawa kecil.

“aku gurau je lah. insyaAllah…”

Raimi tersenyum senang mendengar kalimah itu.

“Man..”

“hmm..” di sebalik kerancakan tangan mereka, mulut mereka turut rancak berbicara.

“bila kau nak kahwin?”

Soalan itu membuatkan pergerakan tangan Hilman terhenti seketika. Terasa berpasir tekaknya, mengingatkan ibunya di rumah.

“tak lama lagi..” jawabnya lemah.

“betul ke?” Raimi berhenti memotong ayam, dan seluruh perhatiannya berpusat pada Hilman kini.

Hilman angguk.

“hmm… mak aku dah nak pergi meminang…” jelas nadanya tidak ceria.

Raimi menghampiri.

“baguslah tu! itu memang berita gembira tu!”

Hilman tidak membalas, sebaliknya dia leka membungkus ayam dan diserahkan kepada pelanggan. Bayaran diterima dan pelanggan itu mula beredar.

Seorang lagi pelanggan baru datang, dan Hilman melayan seperti biasa.

“entahlah Mi…”

Berkerut dahi Raimi.

“eh, kenapa muka kau macam tu? orang nak kahwin, happy, ceria, senyum sampai ke telinga. Engkau ni lain macam je aku tengok..” tegur Raimi. Dia sudah kembali ke papan pemotongnya, dan diambil seekor ayam di atas pangkin.

Dia mula membelah ayam itu kepada dua, kemudian 4, dan seterusnya.

Hilman jungkit bahu.

“entah. Aku pun tak tau kenapa aku rasa macam, tak best.” Luahnya.

Raimi senyum lebar, penuh makna.

“Man, sebelum kahwin memang berdebar, lepas kahwin, oklah tu…” usik Raimi lagi.

Hilman senyum kelat. Bukan debaran itu yang dirasakannya. Debaran lain. Hilman tidak lagi membalas. Malas mahu memanjang bicaranya.

Bukan dia tidak kenal anak Lebai Talib. Kenal sangat. Satu sekolah rendah dan sekolah menengah, dan dengarnya, dia sudah menjadi seorang guru agama di sebuah sekolah pondok berdekatan.

Dia tahu Marina memang calon sesuai untuk dijadikan isteri. Beragama, sopan santun, baik budi pekerti. Tapi, kenapa hatinya tidak mengerti? Bukan dia ada pilihan hati. Tiada sesiapa pun di hatinya kala ini. Dari dulu hingga kini, dia sunyi. Wanita di dalam hidupnya Cuma ibunya dan Safinah, adik perempuannya. Cuma mereka.

Dan hidupnya bakal berubah. Bila-bila masa saja.

“err, encik, ayam satu…” Hilman mendongak.

Seorang gadis yang begitu elegan berdiri tegak di depan matanya. Rambutnya dilepas ke bahu, beralun lembut. Pakaiannya jelas menunjukkan dia sukakan jenama. Belum dikira beg tangan, kasut lagi. Gadis itu memandangnya tepat ke anak matanya.

“nak yang besar ke yang kecik?”

Gadis itu berkerut dahi.

“apa bezanya?”

Hilman tersenyum.

“yang besar mahal la, sebab berat lagi.”

“kira ikut saiz ke?” dia bertanya pelik.

Hilman angguk.

“bukan saiz, tapi berat. Sekilo 12 ringgit.”

“mahalnya!”

Hilman tersentak.

“mana ada cik. Tu harga standard lah tu. cik tak pernah beli ayam ke?”

Gadis itu mencebik.

“ah, tak ada masa lah saya nak datang ke sini. Kotor, jijik. Kalau bukan sebab orang gaji saya bercuti, dan mama saya nak datang rumah, tak ada masa saya nak datang sini. Hish…” komennya tanpa segan silu walaupun ada beberapa pelanggan lain yang mendengar melihatnya pelik.

Hilman masih tersenyum.

“patutlah tak tau beli. Tak pernah ke pasar..” Raimi menyampuk membuatkan gadis itu menjegilkan matanya.

“oklah. Cik nak yang mana? Tunjuk saja…” pantas Hilman mengendurkan suasana.

Gadis bernama Sofia itu mencebik geram. Ditunjukkan seekor ayam di depannya.

Hilman akur. Ayam itu diambilnya dan dipotong 16.

“cukup?”

Sofia mengangguk. Dikeluarkan duit dari dompetnya dan diserahkan pada Hilman. Hilman menyambut dan plastic itu bertukar tangan.

“eh, cik..baki!” namun gadis itu sudah berlalu pergi.

Raimi menepuk bahu Hilman.

“itu rezeki namanya. Nampak sangat dia saja malas nak ambil baki. Menunjuk kaya lah tu..”

Hilman tidak membalas. Mungkin mereka akan bertemu lagi. Aku akan pulangkan juga bakinya nanti.

*******

Hilman memandu tenang setelah dia menghantar Raimi ke rumahnya. Dia membelok ke satu selekoh, dan mendapati ada seorang lelaki dan perempuan sedang bergaduh di tepi jalan. Pada mulanya, dia malas mahu kisah, namun wajah gadis itu membuatkan dia berhenti juga di tepi jalan.

“kau sial! Binatang!” hambur Sofia sekuat hatinya. Dia mahu menampar lelaki itu apabila lelaki itu terlebih dahulu menahan.

“siapa yang salah? Ha? Kau tu yang mudah sangat menyerah. Aku memang suka perempuan murah, tapi nak buat bini? Kirim salam je lah…”

Sofia merentap tangannya, dan dia melayangkan tangannya sekali lagi, tepat pada sasarannya.

“perempuan gila!”

Tangannya sudah diangkat tinggi, mahu membalas perbuatan Sofia. Namun Hilman pantas menangkap tangan itu.

“assalamualaikum. Kot ye pun, takkan nak pukul perempuan bang?” tegur Hilman perlahan.

Lelaki itu merentap tangannya. Wajah Hilman direnung tajam bagaikan singa kelaparan.

“hei, sedara. Kau ni siapa? Hah? Jangan menyibuk urusan rumah tangga orang, boleh?”

Hilman senyum nipis.

“urusan rumahtangga balik selesai di rumah. Atau awak nak saya tolong telefon polis, leraikan di sana je.” Ujar Hilman tenang, nadanya jelas mengugut.

Lelaki itu merengus geram. Sebiji penumbuk dilayangkan ke wajah Hilman namun dia lebih pantas. Ditepis sekali sahaja, lelaki itu sudah tersungkur di atas jalan.

Sofia tergamam. Tidak tahu apa yang patut dikatakannya.

“argh! Pergi jahanam lah kau dengan laki gila ni!” marah lelaki itu.

Dia bangun tergesa-gesa dan beredar ke kereta mewah miliknya. Enjin kereta itu mengaum kuat sebelum ianya membelah sepi, meninggalkan mereka di situ.

Hilman menarik nafas lega. Dia beralih pada Sofia yang kebingungan.

“cik ok ke?”

Sofia angguk.

Hilman melihat sekeliling. Tiada kereta yang lalu lalang senja-senja begini.

“cik, cik boleh bawak kereta ke dalam keadaan sekarang ni?”

Sofia tidak menjawab. Dia seperti hilang akal.

Hilman resah.

“oklah, macam ni je. Cik ikut saya balik rumah, mak dan adik saya ada. Kalau cik dah ok, kita datang ambil kereta cik. Ok?” cadang Hilman.

Sofia masih diam.

Tanpa menanti jawapan Sofia, Hilman terus mengutip beg tangan Sofia di atas jalan sebelum menggamit Sofia mengikutnya ke lorinya.

Dan Sofia menurut tanpa banyak bicara.

*******

“siapa ni…bang?” suara Safinah begitu perlahan namun Sofia tetap dapat mendengarnya. Dia berlagak seperti biasa.

Hilman mendekatkan mulutnya ke telinga adiknya satu-satunya itu.

“nanti abang cerita, ok?”

Safinah kelihatan ragu-ragu mahu menerima kata-kata Hilman namun dia akur. Dihulurkan tangannya.

“saya Safinah, adik abang Hilman…”

Sofia kaku. Hilman? Oh…

“saya, Sofia…”

Hilman terdiam mendengar nama itu. Baru dia sedar dia belum bertanya nama Sofia di dalam lori.

“adik, bawak dia ke bilik adik. Bagi air kosong kat dia..” arah Hilman.

Safinah angguk. Digapai lengan Sofia dan dibawanya perlahan menuju ke biliknya.

“mana kak Sofia?” soal Hilman apabila Safinah muncul dari dalam biliknya dan menghampiri Hilman.

Safinah menunjukkan ke arah biliknya.

“dia tidur kot…”

Safinah mengambil tempat di sebelah Hilman yang tersandar di kerusi kepenatan. Dia tahu ibunya tiada di rumah. Menguruskan urusan peminangan itu.

Safinah memandang wajah abangnya lama.

“bang..”

“hmm…”

“siapa dia tu? kalau mak balik, mesti mak pengsan tengok dia. Dengan baju tak cukup kain, dengan rambut warna macam tu, adik risaulah…” Safinah menyuarakan kebimbangannya.

Hilman memejamkan matanya rapat-rapat.

“jangan risaulah. Dia tu kejap je kat sini. Nanti dia akan balik sebelum mak balik…”

Safinah diam. Jawapan Hilman membuatkan dia ragu-ragu.

“siapa dia tu? baik abang cakap..” Safinah separuh mengugut.

Hilman membuka matanya, merenung siling.

“dia tu pelanggan. Masa abang on the way balik tadi, abang terserempak dengan dia bergaduh dengan sorang laki. Abang berhenti lah sebab Nampak macam teruk jugak gaduh tu. lagipun, duit baki dia beli ayam tadi ada banyak, tapi dia tak ambil. So, abang niat nak pulangkan balik if abang jumpa dia…”

Safinah tidak membalas lagi.

Dia melepaskan keluhan perlahan.

“suka hati abanglah. Kalau mak balik, adik tak tau. Abang jawab dengan mak..” Safinah terus bingkas meninggalkan Hilman di situ.

Azan maghrib sudah habis berkumandang. Salam kedengaran dari luar. Hilman bingkas. Dia terdengar suara beberapa orang lain di luar. Pasti pakcik dan makciknya yang ikut meminang.

Tekaan Hilman benar. Beberapa orang saudaranya yang lain turut hadir. Nampaknya, sudah lama ibunya merancang perkara ini tanpa pengetahuannya.

Dia bersalam dengan mereka.

“Alhamdulillah, dah selesai Hilman. Kamu diterima baik nampaknya…” pak long bersuara.

Yang lain menyambut dengan senyuman.

Hilman turut tersenyum, namun senyumnya hambar.

“apa yang baik bagi semua, baiklah untuk saya…”

Puan Syarifah tersenyum lebar.

“kita buat kenduri kamu masa cuti sekolah. Ada lebih kurang 9 bulan lagi dari sekarang.” Ujar Puan Syarifah.

Hilman menelan liur.

“kenapa..cepat sangat mak?”

Puan Syarifah mencebik.

“apa pulak cepat? Itu pun dah lambat tau. Mak kalau boleh nak cepat lagi dari tu…” tukas Puan Syarifah.

“alah, Iman, oklah tu. ke kamu nak cepat lagi sebenarnya?” usik mak long pula.

Hilman senyum tawar.

“oklah…”

Hilman tidak membalas lagi.

“kamu ni, tak macam orang nak kahwin pak long tengok. Tak nak kahwin ke?” soal pak long seraya berseloroh.

“dia tak boleh kahwin dengan orang lain selain saya….” Suara halus itu membuatkan semua mereka berpaling.

Bulat mata Puan Syarifah. Hilman bingkas mendapatkan Sofia. Sofia berdiri di situ, dengan rambut yang agak tidak terurus. Matanya bercahaya. Hilman dapat melihat ada air mata yang bergenang.

“awak…”

“sampai hati awak nak kahwin dan tinggalkan saya macam ni…” rintih Sofia tiba-tiba. Air matanya sudah menitis membasahi pipi.

Semua mata yang melihat tertanya-tanya sendiri. Namun Puan Syarifah lebih pantas.

“Iman, siapa perempuan ni??” suara Puan Syarifah garang bertanya.

Hilman memandang ibunya, dan Sofia silih berganti.

“saya dah mengandungkan anak awak. sampai hati awak nak kahwin dengan orang lain. Macam mana dengan saya dan anak kita nanti?” suara lirih Sofia begitu sayu.

Hilman kaku.

“astaghfirullahal aziimm. Iman, apa yang perempuan ni cakapkan ni?” pak long pula mencelah.

Yang lain sudah menggeleng-geleng kepala.

Pak long menghampiri Hilman. Puan Syarifah turut bisu. Kala itu, Safinah baru muncul dari dapur dengan tuala tergantung di leher. Melihatkan ada lelaki lain, dia pantas menaikkan tuala itu menutupi kepalanya. Dia mendapatkan ibunya dengan wajah berkerut.

“kenapa ni mak, pak long?” pandangannya jatuh pada satu persatu wajah di depannya. Esakan kecil Sofia kedengaran.

“Iman, beritahu pak long, betul ke apa yang dia cakap? Siapa perempuan ni?”

Puan Syarifah pantas melangkah ke depan dan menolak Sofia sehingga dia hampir terjatuh namun tangan tegap Hilman lebih pantas. Ditarik Sofia ke arahnya, melindungi Sofia dari ibunya sendiri yang seperti sudah hilang akal.

“kau saja nak kenakan anak aku kan? Hah? Kau ni siapa hah? Perempuan murahan! Entah siapa yang buntingkan kau, dan kau nak tuduh anak aku? Hei, aku kenal anak aku tau. Dia takkan sentuh pun kulit perempuan bukan mahram dia. Apa tujuan kau datang sini hah? Siapa kau? Siapa?!!” jerit Puan Syarifah sekuat hatinya bagai orang hilang akal.

Sofia kecut perut. Hilman menarik nafas dalam. Bingung.

“mak, kenapa mak tuduh dia macam tu?” tegur Safinah. Dia memegang bahu ibunya erat.

“perempuan murah ni, mengaku dia mengandungkan anak abang kau. Tapi mak tau, dia tipu. Abang kau takkan buat macam tu…”

“mak, maafkan saya…” Hilman memandang tepat ke mata ibunya.

Sofia teresak-esak di bahu Hilman. Basah lengan bajunya.

“saya akan kahwini dia…”

Senyap. Begitu senyap hinggakan jika ada jarum yang jatuh boleh kedengaran. Esakan Sofia turut terhenti. Dia tidak menyangka ayat itu akan terkeluar dari bibir lelaki itu.

Apa yang aku dah buat?

Puan Syarifah melepaskan dirinya dari pegangan Safinah dan meluru pantas ke arah Hilman dan Sofia. Hilman menolak Sofia ke belakangnya, melindunginya dari ibunya yang sudah menggila. Pak long dan yang lain mengucap panjang. Tak kurang juga yang menggeleng tidak percaya.

“apa kau dah buat? Hah? Kau bomohkan anak aku ke, hah? Kau yang kenakan dia kan?” Safinah cuba mengawal ibunya dari bertindak lebih gila.

Pak long menunduk seketika. Wajahnya kesal dan hampa.

“pak long akan beritahu Lebai Talib, yang perkahwinan Maria dan Hilman dibatalkan…” ada nada hampa di situ.

Puan Syarifah sudah tidak meronta lagi. Dia lemah dalam pelukan Safinah, dan tangisan pilu seorang ibu itu mula mengisi hening. Kecewa menyelubungi jiwa dan perasaannya. Dia tahu Hilman tidak bersalah. Tapi dia tidak dapat menerima kenyataan, perkahwinan Hilman tidak jadi. Kenapa Sofia yang dipilihnya? Kenapa?

Semua tetamu beredar, tak ketinggalan seorang pun. Berita tentang peristiwa itu pasti akan tersebar tidak lama nanti.

Esok pagi, nama Hilman akan menjadi buruk. Rata-rata orang akan membicarakan tentangnya.

Hilman berpaling pada Sofia.

“masuk bilik.” Arahnya.

Mata mereka bertentangan. Perasaan Sofia bertambah haru, tak keruan. Lelaki itu baru sahaja melamarnya di depan semua orang, secara tak langsung.

Tanpa menunggu lama, dia berlari masuk ke dalam bilik, dan disembamkan wajahnya ke bantal.

Apa yang kau dah buat, Sofia? Kau hancurkan hidup seorang lelaki yang tak bersalah!

Tangisan Sofia bertambah kuat. Sehingga akhirnya dia terlena, wajahnya basah dengan air mata.

*******

“mak, keluarlah…” pujuk Hilman. Dia tahu ibunya mendengar suaranya. Safinah sudah ke sekolah.

“mak takkan keluar selagi perempuan murah tu ada di dalam rumah ni!” jerit Puan Syarifah dari dalam.

Hilman mengeluh perlahan.

“dia akan jadi isteri Iman mak. Dia takkan ke mana-mana…”

“kalau macam tu, biar mak saja yang keluar dari rumah ni!” pintu terbuka dari dalam.

Dengan beg kecil di tangan, Puan Syarifah memang sudah tekad.

Hilman memegang pergelangan ibunya lembut. Dipandang tepat ke wajah itu.

“mak, kenapa mak macam ni?” ada nada hampa di situ.

Puan Syarifah menjegilkan matanya.

“kenapa? Sebab Iman dah hancurkan hati mak! Kenapa Iman nak kahwin dengan perempuan hina tu? orang lain yang bersalah! Kenapa Iman nak jadi pak sanggup untuk dia?!?”

Hilman menunduk.

“mak, Iman akan kahwin dengan dia, walau apa pun yang mak cakap…”

Puan Syarifah tersentak. Sungguh dia tidak menyangka anaknya sudah berubah semalaman sahaja. Dilepaskan begnya, dan dia membuka langkah ke bilik Safinah.

“mana? Mana dia? Biar aku bunuh perempuan tak guna tu!”

Hilman pantas mengejar dan menghalang di muka pintu.

“mak, tolonglah jangan cakap macam tu. kecik hati dia nanti…” pujuk Hilman.

Puan Syarifah merengus kasar.

“baik! Iman nak kahwin sangat dengan dia, kan? Kahwinlah! Tapi ingat! Selagi dia jadi isteri Iman, jangan Iman berani jejak kaki ke sini! Mak tak rela!” Puan Syarifah pantas memusingkan badannya, menuju ke biliknya. Dia menghilang ke dalam dengan dentuman pintu yang kuat.

Hilman melepaskan keluhan panjang. Dia memusingkan badannya apabila pintu bilik Safinah terkuak. Wajah Sofia yang agak sembap memenuhi layar matanya.

“maafkan saya, sebab semalam…” akhirnya, terucap juga kata itu yang sudah sekian lama bermain di benaknya sejak dia merosakkan segala-galanya.

Hilman tidak membalas. Sebaliknya dia merenung wajah itu dalam, seakan-akan berfikir tentang sesuatu yang begitu berat.

“cari baju kurung dalam almari adik saya. Kita ke masjid.” Akhirnya dia bersuara.

Sofia terdiam. Menggeletar bibirnya mendengar perkataan ‘masjid’.

“k- kita, nak buat a- apa, di masjid?” soalnya teragak-agak.

“kita kahwin.”

Sofia tergamam.

“k- kahwin?”

Hilman angguk yakin.

“kenapa? Awak tak nak?”

Sofia kaku, tak angguk, tak geleng. Air matanya bergenang lagi.

“awak… jangan buat saya macam ni… saya, dah tak suci. Saya bukan perempuan baik. Apa yang mak awak cakap, tadi, dan semalam, semua betul. Awak berhak dapat yang lebih baik. Tolonglah, jangan kesiankan saya…” rayunya di muka pintu.

Dia menunduk perlahan, teresak-esak lagi.

Hilman tersenyum nipis.

“siapa kata saya kesiankan awak?”

Sofia angkat muka, dan direnung seraut wajah itu.

“sudahlah, berhenti menangis. Bakal pengantin tak boleh menangis. Pergi basuh muka, pakailah barang-barang mekap adik saya yang ada tu, tapi tak banyak la. Saya tunggu di ruang tamu. Ok?”

Sofia tidak menjawab lagi. Lama dia menanti lelaki itu berkata-kata lagi namun Hilman terus senyap. Dia angguk perlahan dan langkahnya diatur ke bilik air. Hilman tersenyum nipis melihat Sofia berlalu.

********

“aku terima nikah Sofia bt Syafie dengan mas kahwin 80 ringgit, tunai..”

Bagaikan mimpi, Hilman menghampiri dan menghulurkan tangannya. Sofia memandang tangan itu sepi tidak bersambut, terharu dan pilu bercampur baur. Di hari yang bahagia ini, sepatutnya dia ditemani mama dan papanya, dan bersolek cantik. Tapi realitinya, dia sendiri. Dengan Hilman, seorang asing yang kini sudah sah menjadi suaminya.

Disambut tangan itu dan diciuminya. Saat bibir Hilman menyentuh dahinya, Sofia bagaikan terkena renjatan elektrik, bagaikan disuntik satu semangat baru, dan semangatnya itu bertambah mekar apabila Hilman menghadiahkan satu senyuman padanya.

Hilman berdiri, dan dihulurkan tangannya pada Sofia.

“jom?”

Sofia menyambut tangan itu dan digenggamnya erat. Suaminya…

Di dalam kereta Saga milik Hilman, sepi menghuni suasana. Masing-masing tidak bersuara sejak mereka masuk ke dalam kereta.

Sofia resah. Apa yang patut diucapkannya? Terima kasih? Maafkan saya?

“awak ada rumah kan?” tiba-tiba Hilman bertanya.

Sofia tersentak dari lamunannya.

“ha?”

Hilman senyum lagi.

“mak saya tak bagi saya duduk rumah tu lagi if saya kahwin dengan awak. so, saya kena pindah ke rumah awak lah. Boleh kan?”

Sofia angguk lambat-lambat.

“tapi, saya kena bawak sekali la lori saya tu. kalau tak, saya tak boleh berniaga.” Beritahu Hilman lagi.

Sofia angguk lagi. Melihat gaya Sofia yang bagai burung belatuk itu, Hilman ketawa kecil.

“awak dah bisu ke?”

Sofia geleng laju.

“saya… awak..terima kasih..” suaranya begitu perlahan.

“untuk apa?”

Sofia diam.

“Sofia, saya berkahwin dengan awak bukan sebab nak tolong awak, atau kesiankan awak… ok?”

Sofia angguk lagi.

Jika bukan itu sebabnya, kerana apa? Cinta? Mustahil.

*********

“kau dah kahwin?!” suara Raimi bagaikan petir, terkejut dengan berita itu.

Hilman senyum lebar, mengiyakan.

“eh, baru dua hari lepas kau cakap mak kau pergi meminang kan?”

Hilman sengih saja.

“aku kahwin dengan orang lain.”

Mata Raimi bagai mahu terkeluar.

“dengan siapa?”

“perempuan yang beli ayam hari tu, yang cerewet dan banyak tanya tu.”

Sekali lagi jantung Raimi bagai terhenti.

“hei, Man, kau main-mainkan aku ek?”

Hilman geleng. Wajahnya diseriuskan.

“betullah, aku dah kahwin dengan dia.”

Raimi tergamam. Tidak tahu apa yang patut ditanyakan dahulu.

“kenapa? Macam mana kau boleh kahwin dengan dia? Mak kau kata apa?”

Hilman kembali serius. Mengingatkan ibunya.

“dia marah lah, aku kahwin dengan Sofia.”

“oh, nama dia Sofia?”

Hilman angguk. Dia kemudiannya menceritakan setiap detik yang berlaku yang merupakan rentetan kepada perkahwinan mereka.

“serius aku tak faham kenapa kau terima dia. Dia perangkap kau! Kau pun tau kan?” suara Raimi agak tinggi, kemudian rendah kembali. Nadanya hampa.

Hilman angguk.

“aku tau, mula-mula dia nak perangkap aku. Tapi, dia sebenarnya tak berniat macam tu. dia terdesak. Dan, entah, aku rasa itu yang terbaik.”

“terbaik?” nada Raimi separuh mengejek.

“terbaik untuk siapa? Untuk dia dan anak haram dia tu?”

Hilman menarik nafas dalam.

“Mi, kot ye pun, janganlah cakap macam tu depan aku..” di hujung suara Hilman ada nada terguris.

Raimi mencebik.

“itu yang kau kena dengar dari orang ramai lepas ni, Man. Budak tu memang anak haram. Dan kau jadi pak sanggup. Kau dah kahwin dengan dia, memang kau kena tanggunglah semua tu sampai bila-bila.”

Hilman tidak membalas lagi. Dia akui kebenaran kata-kata Raimi. Dan ingatannya melayang pada Sofia yang berada di rumah. Menangis lagikah dia?

Mujur mereka sudah berpindah ke kondominium Sofia semalam.

“sorry lah awak. bau ayam pulak nanti rumah cantik awak ni..” seloroh Hilman.

Sofia tersenyum kecil.

“err, ni, bilik kita…” Sofia menunjukkan biliknya. Hilman menghampiri Sofia, dan sebelah tangannya diletakkan di pipi Sofia.

“saya tidur bilik lain ya…”

Sofia terdiam. Wajah mereka begitu dekat. Pantas Sofia melarikan wajahnya.

“err, suka hati awaklah..”

Hilman tersenyum sendiri mengenangkan tindak-tanduk Sofia yang jelas canggung dengan kehadirannya. Hilman juga terasa aneh. Dia di dalam sebuah rumah dengan seorang asing yang sudah menjadi isterinya.

Begitu berbeza watak Sofia yang dikenalinya sekarang dengan Sofia yang datang untuk membeli ayam pagi itu. Sangat berbeza.

Hilman bangun pagi tadi dengan mendapati Sofia masih di dalam biliknya, tidur. Sudah solatkah belum, Hilman tidak pasti.

Namun dia keluar dari rumah untuk berniaga dengan meninggalkan nota mengatakan dia akan pulang lewat petang.

Dan petang itu, apabila dia pulang, Sofia sedang menonton televisyen dengan menggigit buah mangga muda. Melihat Hilman pulang, dia bingkas dengan menyorokkan buah mangga di belakangnya.

Hilman menyedari tindakannya. Dia menghampiri, dan ditarik tangan Sofia ke depan semula. Sofia menggigit bibir.

“dah berapa minggu?” suaranya tenang, dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibirnya sejak mereka terikat.

Sofia menunduk.

“tujuh…”

Hilman menarik nafas dalam. Hilman menarik Sofia duduk di sebelahnya, dan wajah mereka bertentang.

“lelaki hari tu?”

Sofia angguk. Dia masih menunduk. Tidak berani menentang mata lelaki itu.

“dah jumpa doctor?”

Sofia geleng.

“pertama kali hari tu je. Lepas tu, dah tak pergi.”

Hilman menaikkan wajah Sofia supaya mata mereka bertentang.

“malam ni kita pergi klinik. Awak tak boleh biar macam tu saja. Setahu saya, orang mengandung ada jadual jumpa doctor, kan?”

Sofia terdiam. Air matanya bergenang lagi. Dia menyembamkan wajahnya ke dada Hilman yang agak berbau ayam itu.

“awak, terima kasih…” lirih suaranya.

Hilman terpempan, dan dia kaku di situ. Membiarkan dadanya basah dengan air mata Sofia.

Hari-hari berlalu. Hilman masih meneruskan jadual hariannya seperti biasa namun apabila Sofia perlu ke klinik, dia akan bercuti. Puas Sofia meyakinkan Hilman bahawa dia masih boleh memandu sendiri namun Hilman tetap berkeras.

Kadang-kala, tersentuh hati kecil Sofia apabila melihat kesungguhan Hilman menjaganya. Tertanya-tanya juga dia, adakah semua ini sementara atau untuk selama-lamanya?

Sejak mereka berkahwin, mereka tidak pernah berbicara dari hati ke hati tentang perkahwinan ini. Topic mereka Cuma tentang kandungan Sofia.

Hari itu, apabila Hilman pulang dari berniaga, Sofia mendekat.

“awak..”

Hilman menoleh.

“saya rasa, saya patut bawa awak jumpa dengan ibu bapa saya…” Sofia memulakan.

Dia bimbang akan penolakan Hilman. Jika Hilman menolak, jelaslah Hilman Cuma mahu menolongnya sahaja. Tak lebih dari itu. Hilman juga tidak pernah menuntut haknya sebagai suami walaupun sekali.

Mereka Cuma berbicara di ruang tamu, dan tidur di bilik masing-masing.

Hilman menunduk seketika.

“awak dah bersedia?” soalan itu dibalikkan kepada Sofia semula.

Sofia terkebil-kebil.

“kenapa awak tanya macam tu?”

Hilman menarik nafas dalam.

“saya tak pernah tanya pasal tu, sebab saya nak awak bersedia betul-betul sebelum awak bawa saya jumpa ibubapa awak. sebab, bila saya dah jumpa mereka, means that there would be no turning back. Perkahwinan ni, akan kekal. Saya sentiasa bersedia, tapi saya sedar, perasaan awak mungkin lain sebab awak pernah melalui pengalaman buruk yang mungkin membuatkan awak serik untuk menjalinkan perhubungan lain. Jadi, saya rasa baik saya beri masa pada awak. kalau awak rasa awak dah bersedia, saya akan ikut awak... ok?”

Sofia diam.

Hilman menanti bicara Sofia namun apabila dia tidak lagi berkata apa-apa, Hilman berlalu masuk ke dalam biliknya.

Sofia menjengah ke dalam bilik melalui ruang pintu yang terbuka sedikit. Hilman sedang membaca doa selepas sembahyang. Selama mereka duduk sebumbung, Hilman tidak pernah mengajaknya solat. Sememangnya dia tidak pernah solat namun hati kecilnya terguris. Adakah Hilman memang Cuma mahu memberinya nama baik sahaja dengan mengahwininya? Bicara Hilman terngiang-ngiang di telinganya.

“perkahwinan ni akan kekal”? Maknanya dia tak kisah pun kalau aku tak bawah dia jumpa mama dan papa?

Sofia memejamkan matanya rapat-rapat. Mungkin ini Cuma mimpi. Dibuka matanya dan Hilman masih di situ.

Tiba-tiba rasa geram menguasai dirinya.

Kenapa dia jadi sebegini lemah bila berhadapan dengan lelaki? Memang Hilman suaminya, tapi dia tak punya hak untuk memberikan rasa gelisah padanya. Dia boleh hidup sendiri. Tanpa Hilman. Cuma dia dan anaknya!

Sofia teringatkan sesuatu.

Kotak rokok di dalam begnya dikeluarkan. Dia kemudiannya mengambil sebatang rokok itu dan dinyalakan. Memang dia jarang merokok, namun, jika dia tertekan, itulah temannya.

Hilman yang keluar dari bilik terpempan di muka pintu melihat punting bernyala di mulut Sofia. dia yang berkain pelekat menghampiri Sofia, lalu duduk di sebelahnya.

Sofia menghembus asap kasar, tanpa melihat ke arah Hilman, tanpa rasa bersalah.

Hilman tersenyum nipis.

“dah lama awak merokok?”

Sofia merengus perlahan.

“saya memang merokok. Kenapa? Menyesal kahwin dengan saya? Ceraikan lah saya. Saya tak kisah!” cabarnya.

Hilman tersenyum tenang. Dia tahu ada yang mengganggu pemikiran Sofia. tadi, dia ok saja.

“saya takkan paksa awak berhenti merokok…” Hilman bertutur tenang. Sofia merengus perlahan.

“macam awak tak suruh saya solat? Macam mana awak jijik nak tidur dengan saya? Sebagaimana lagak awak selalu, bercakap dengan saya hanya kerana kandungan saya? Macam tu?” suara Sofia meninggi.

Hilman masih tenang. Dia menarik nafas dalam.

“saya tak tidur dengan awak bukan sebab saya rasa jijik dengan awak, Sofia…”

Sofia merenung Hilman tajam.

“habis sebab apa? Hah? Kenapa awak kahwin dengan saya? Kenapa? Awak kata awak bukan nak tolong saya, habis awak tolong diri awak sendiri? Awak yang tak nak kahwin dengan perempuan yang mak awak nakkan, jadi awak jadikan saya sebagai sebab untuk awak lari, kan? Cakaplah! Kenapa diam??” suaranya sudah serak.

Hilman menunduk seketika.

Sofia masih terus-terusan menghisap dan menghembus asap rokok itu walaupun air matanya berjejeran di pipi.

“apa rancangan awak sebenarnya? Awak nak ceraikan saya lepas saya bersalin? Kenapa mesti awak tunggu saya untuk cadangkan jumpa papa saya? Awak kata awak nak saya bersedia, tapi sebenarnya awak cari alasan untuk tak jumpa mereka langsung, sebab awak yang tak nak perkahwinan ni diketahui orang lain, kan? Awak tak nak orang ramai tahu yang awak jadi pak sanggup? Macam tu?”

Hilman diam lagi. Biarkan Sofia menghambur semuanya. Hilman sentiasa bersedia dengan jawapannya. Dia tahu kini masanya Sofia mendengar jawapan kepada semua persoalan itu.

Dada Sofia turun naik memandang Hilman. Rokok yang tersepi di celah jarinya disumbat ke dalam mulutnya semula, dan asapnya dihembus lagi.

Hilman mengangkat mukanya, menatap wajah itu dalam. Dia kemudiannya mengambil rokok di tangan Sofia dan ditekankan puntung itu ke atas meja kaca di depan mereka.

Sofia tergamam, namun cepat-cepat dia memandang ke arah lain. Tidak mahu menunjukkan wajah terkejutnya dengan tindakan Hilman.

“awak nak dengar satu cerita tak?” Hilman bertanya tiba-tiba. Sofia memandang Hilman dari ekor matanya. Dikesat air matanya kasar.

“cerita apa?” soalnya kasar.

Hilman tersenyum lagi.

“ada seorang lelaki, yang tak kahwin-kahwin walaupun dia banyak duit. Bukanlah banyak mana tapi, dia dah mampu untuk kahwin la. Tapi, dia tak kahwin-kahwin. Bukan sebab dia tak suka perempuan, atau tak ada perempuan yang suka dia. Tapi, hatinya belum terbuka. Hinggalah satu hari, ibunya mengugut nak pinangkan jugak seorang gadis yang baik untuk dia. Lelaki tu nak menolak, tapi, dia tak sanggup nak hampakan ibunya yang sangat mengharap. Malam tu, dia berdoa. Awak tau apa doanya?”

Sofia geleng. Air matanya sudah kering, namun sendunya masih ada. Hilman memetik jarinya.

“awak percaya pada takdir?”

Sofia kaku. Tak geleng, tak angguk.

“lelaki tu sangat percaya pada takdir, dan juga kuasa Allah. Dia percaya, jodohnya pasti ada, Cuma belum bertemu, sebab tu dia tak rasa nak kahwin lagi walaupun ramai perempuan baik-baik yang ditemuinya. Jadi, malam tu dia berdoa pada Allah, dia minta Allah berikan tanda kepada dia, sama ada perempuan yang akan dipinang oleh ibunya kelak betul jodohnya atau tak. Kalau ya, berikan tanda, dan kalau bukan, berikan tanda jugak, agar tak ada yang terluka jika perkahwinan tu tak kekal kelak. Tapi, malangnya, malam tu, tak ada mimpi yang datang. Lelaki tu sangat resah. Tapi dia berikan persetujuan pada ibunya. Jadi ibunya pun terus pergi meminang hari tu jugak.”

Terkebil-kebil Sofia seketika.

“dan hari yang sama jugak, akhirnya, tanda tu muncul.” Bersinar-sinar mata Hilman,merenung tepat ke anak mata Sofia.

“tanda apa? Tanda supaya dia kahwin dengan pilihan ibunya?” soal Sofia tidak sabar. Lupa dia sedang marahkan Hilman.

Hilman geleng bersama senyum lebar. Kedua-dua tangannya diletakkan di pipi Sofia lembut.

“awaklah tanda itu, Sofia. tanda supaya saya tak berkahwin dengan Maria, kerana jodoh saya bukan dia, tapi awak…” suara Hilman seakan berbisik, membuatkan Sofia hanyut dibuai perasaan indah.

Mata mereka bertentangan, tidak berkedip.

“awak bukan satu kesilapan, dan saya tak silap kerana mengahwini awak, sebab awaklah jodoh saya, dan saya sangat percaya dengan kata hati saya, kerana Dia di atas yang memiliki hati ini, dan dia yang menggerakkan hati saya untuk bersetuju mengahwini awak, dan saya tak pernah menyesal mengahwini awak…”

Air matanya bergenang lagi. Hilman pantas menarik Sofia ke dalam pelukannya, erat.

“maafkan saya, jika selama ni, saya buat awak rasa terasing. Saya tak berniat begitu. Tapi, saya tak mahu semuanya berlaku terlalu mendadak. Kita dari dunia yang berbeza Sofia, dan untuk saya memaksa awak berubah mengikut cara saya adalah sesuatu yang amat sukar, dan saya tak nak itu terjadi, dan kita mungkin terpisah sebagai akibat sikap terburu-buru saya…”

Esakan Sofia mula kedengaran. Pelukannya bertambah erat.

“saya tak tidur dengan awak, bukan sebab saya jijik dengan awak. Kalau saya jijik dengan awak, saya takkan kahwini awak, Sofia. Pada saya, awak tetap seorang yang suci, dan awak tetap isteri saya, dunia akhirat..” tambah Hilman lagi. Suaranya sayu, namun tetap jelas kedengaran di telinga Sofia.

“kalau nak diikutkan, memang saya ada naluri dan perasaan. Lagipun, awak dah sah pada saya. Tapi saya ambil kira hati dan perasaan awak, dan saya tak nak lukakan perasaan awak dengan memaksa awak menerima saya zahir dan batin. Saya tak nak perkahwinan kita berjalan dalam kebencian walaupun hakikatnya, kita memang tidak mengenali satu sama lain. Pada saya, biarlah semua tu lahir secara semula jadi, dan sememangnya saya sedia menanti awak, sampai bila-bila..”

Hilman menarik nafas dalam.

“Sofia, kalau saya takut digelar pak sanggup, awal-awal lagi saya dah tinggalkan awak di tepi jalan hari tu. saya dengar apa yang awak cakapkan dengan lelaki tu, tapi saya sengaja buat tak kisah, dan saya bawa jugak awak ke rumah saya. Masa tu, saya memang nak membantu awak. Tapi bila awak cakap saya kena kahwin dengan saya, saya macam dipukau. Dan masa tu, saya teringatkan doa saya. Masa tu lah saya sedar, awaklah orangnya yang saya cari-cari selama ni. Dan saya yakin dengan rasa hati saya. Takdir tak menemukan kita secara tak sengaja. Saya jarang guna jalan tu tapi hari tu, hati saya tergerak untuk guna jalan tu balik ke rumah, dan saya bertemu dengan awak. Itulah takdir. Takdir kita, Sofia.”

Hilman mengemaskan pelukannya, bibirnya pada bahu Sofia.

“tapi saya kotor, Hilman… Saya bukan gadis yang suci..” rintih Sofia.

Hilman merenggangkan pelukannya, dan ditatap wajah Sofia dalam. Air mata di pipi itu dikesatnya lembut.

“suci pada pandangan manusia, itu yang awak maksudkan?”

Sofia menunduk. Sendunya masih kedengaran.

“jika awak kembali ke pangkal jalan dan bertaubat sebetul-betulnya, awak lebih suci dari manusia lain di pandangan Allah, Sofia…” pujuk Hilman.

Sofia mengangkat mukanya perlahan.

“sebenarnya, saya nak berterus-terang dengan awak selepas awak selamat melahirkan, sebab saya takut jika saya terburu-buru, awak mungkin akan membahayakan nyawa awak dan nyawa bayi ni juga. Saya nak kedua-duanya selamat, sebab awak isteri saya, dan bayi ni, anak saya…” ujar Hilman seraya meletakkan tangannya di perut Sofia.

Sofia pantas menyembamkan wajahnya ke dada Hilman, dan dipeluk pinggang lelaki itu erat, seakan tidak mahu dilepaskan lagi.

“maafkan saya. Jangan tinggalkan saya…” lirih suara itu.

Hilman menunduk dan diciumi ubun-ubun Sofia. dia turut melingkarkan tangannya di tubuh itu, erat.

“saya takkan ke mana-mana tanpa awak..” janjinya.

Dan air mata Sofia mengalir laju, membasahi dada Hilman buat kesekian kalinya. Hilman memanjat syukur, kerana dia percaya, khilafnya bukan Sofia.

p/s: this is a mini novel. akan ada smbungannya slps ini, mgkn another 1-2 chapter more. slmt membaca dan semoga terhibur!

18 comments:

  1. salam...
    nice..x sabar nak baca sambungannye..

    ReplyDelete
  2. A good story. Leka gak membacanya. Romantik aje si Hilman tu di atas sikapnya yang prihatin... Suke sangat...

    ReplyDelete
  3. Tapi dari tajuk tu, macam ada something yang akan berlaku nanti.... Betul ke?

    ReplyDelete
  4. hmm... tak tau nak ckp apa .. tulusnya hati dia..

    ReplyDelete
  5. waaahhh...
    bag0snya kal0w
    ada lelaki yg mcm ni..
    hmmm..besh2..

    ReplyDelete
  6. hohohoho...
    crta yg mnrik..
    trdpt unsr pngjaran...
    best2x...

    ReplyDelete
  7. eeeeeeiii..best2..
    baekknyee hilman..huhu..

    ReplyDelete
  8. cara yg tersirat tuk mendidik pembaca..
    neway nice story.

    tak sabar tunggu next n3!

    ReplyDelete
  9. serius..best betul cita nie..sis sy mg salute la dgn sis..semua cita sis menepati citarasa sy..first episod lg hati dh tertarik..

    ReplyDelete
  10. best2..tersentuh bc cite ni, suka dgn watak hilman yg sentiasa tenang..hehe,tk saba nk tnggu next entry...

    ReplyDelete
  11. best.. sangat tersentuh dgn kebaikan hilman.. huhu.. sedih jugak bace n3 ni.. teruskan menulis.

    ReplyDelete
  12. suke baca cerita ni....n xsabar nk baca cerita seterus nye...

    ReplyDelete
  13. best,,,
    hilman sgt baik,,,
    n sgt sabar,,,

    ReplyDelete
  14. best sgt..jdkan la novel...sy dah terpikat ngn hilman :)

    ReplyDelete
  15. emmmm......permulaan yg agak baik..uhhu

    ReplyDelete
  16. So sweet . It amazing.i love it so much. So hard to find a man like him.

    ReplyDelete
  17. So sweet . It amazing.i love it so much. So hard to find a man like him.

    ReplyDelete
  18. Tulis la dekat wattpad mesti lagi ramai pembaca author... Btw best la citer ni bukan senang jumpa lelaki camni

    ReplyDelete