About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru November 2016!

Terbaru November 2016!

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 2


Bab penuh




Fakhri mengukir senyum nipis saat matanya tertancap pada papan tanda kedai yang kini cuma berjarak beberapa meter saja darinya. Sudah lama dia tidak bersua muka dengan Kei, temannya yang juga merupakan pemilik kedai SmartTech Sdn Bhd itu. Siapa sangka, dalam ramai-ramai kenalannya, Kei yang berbangsa Cina dan beragama Kristian itu pula yang boleh ngam dengannya.
Sudah lama juga dia tidak menjenguk shopping complex ini sejak dia tinggal di UK bersama keluarganya yang menetap di sana. Jika bukan kerana urusan kerja, pasti dia tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia pun dalam masa terdekat ini.
Sampai di depan kedai, Fakhri tersenyum sumbing melihat Kei yang sedang tekun menghadap laptopnya. Kelihatannya cuma dia seorang saja di dalam kedai ketika itu. Fakhri terus memasang rancangan untuk mengenakan Kei.
Sebuah laptop yang terpamer di atas rak pameran dibeleknya dengan membelakangi Kei.
“Ini berapa?” Soalnya seraya meletakkan tangannya di mulut, bimbang suaranya dicam Kei. Ternyata soalannya mengejutkan Kei yang sedang ralit sebentar tadi. Mengenangkan pelanggan yang datang dan tiada seorang pun pekerjanya di dalam kedai sekarang ini, Kei terus meninggalkan laptopnya dan mendapatkan Fakhri.
“Oh, ini dua ribu saja. I boleh kasi you windows original sekali kalau you mau.” Apabila Kei berdiri di sebelahnya, Fakhri terus berpusing sedikit dan memusatkan perhatiannya pada laptop lain pula. Sebelah tangannya di dalam poket seluar manakala sebelah lagi masih di mulutnya. Geli hati Fakhri cuba menahan tawa melihat Kei yang sedikit terkulat-kulat apabila dia tidak lagi menunjuk minat pada laptop pertama tadi.
“Ini pula berapa?” Tunjuknya pada laptop lain pula.
Kei turut beralih tempat, kali ini hampir berdepan dengannya membuatkan Fakhri berpusing 180 darjah bagi mengelakkan wajahnya kelihatan di mata Kei. Geli hatinya usah cakaplah.
“Oh, ini 1800 saja. Apa specs yang you mau?” Kei bersungguh-sungguh bertanya. Di dalam hatinya, rasa aneh sudah bertandang. Kenapa pelanggan ni macam kenal saja?
I nak laptop yang harga seribu saja tapi ada semua specs terbaru. Ada?”
Kei menggaru kepala yang tidak gatal sambil merenung belakang kepala pelanggan itu.
Sorry lor. Kalau you  mau  semua specs terbaru, seribu tak dapat lor.” Dengan sedikit terkilan, Kei memaklumkan.
Fakhri menggeleng keras.
“Mesti ada. Macam mana you berniaga ni?” Marah Fakhri tercetus tiba-tiba, membuatkan Kei semakin bingung. Apa fasal pelanggan ni macam orang wayar putus saja?
Kei membuka langkah lagi untuk menghadap pelanggan itu. Mahu juga dilihat rupa pelanggan yang tak betul ini. Kali ini, Fakhri membatu saja.
“Haiya, sorry to…” Kei terus menepuk dahinya saat matanya menyapa wajah itu. Fakhri sudah pecah tawa seraya menarik bahu Kei ke arahnya kasar.
How are you, my friend?” Soal Fakhri dalam tawa yang bersisa. Seronok betul dapat mengenakan Kei yang begitu lurus itu. Mungkin sebab itu dia suka berkawan dengan Kei walaupun berlainan agama dan bangsa. Sekarang, walaupun sudah jadi tauke tapi masih rajin melayan sesiapa yang bertanya kepadanya.
Kei turut membalas pelukan Fakhri dengan tumbukan ke pinggangnya, membuatkan Fakhri mengaduh kecil, masih dengan tawa yang belum mati.
“I almost thought ada pelanggan gila sudah datang ini kedai! Mana ada laptop with full specs harga seribu! Jutawan macam you pun manyak kedekut woo!” Marah Kei dalam nada yang ditinggikan.
Pelukan dua sahabat itu direnggangkan dan Kei terus membuka langkah ke belakang kaunter kembali dengan menggelengkan kepalanya.
Fakhri terus menarik sebuah kerusi tanpa dipelawa lalu duduk di depan Kei. “Alah Kei. You yang kedekut! Apa salahnya kasi diskaun untuk kawan you ni? Bukan selalu I balik sini.”
Kei cuma mampu mengurut pelipisnya sambil merenung Fakhri dengan sisa senyuman.
When did you come?
Yesterday. Still having jetlag. Sebab you, I keluar jugak dari hotel, tahu.”
Buku lima Kei dan Fakhri bertembung di udara. Kei tersenyum bangga.
“Sebab I saja kawan you di Malaysia ni, kan?”
Fakhri terangguk-angguk mengakui. Matanya meliar memerhatikan seluruh kedai milik kawannya itu.
What to do? I didn’t have enough time to make friends anyway,” beritahu Fakhri jujur, satu fakta yang sudah Kei faham benar. Tiada masa dan juga tiada hati.
Don’t worry. Nanti kita pergi minum, on me!” Bersungguh Kei mengajak.
Fakhri menyambutnya dengan anggukan setuju.
That’s my friend.
Sempat Fakhri mengerling lagi ke bahagian lain dalam kedai yang tidak jauh berubah sejak kali terakhir dia ke sini, mungkin tiga tahun yang lalu. Nasib baik Kei belum berpindah kedai.
“Mana pekerja you?
Kei yang menumpukan perhatiannya kembali pada skrin laptopnya mengangkat mata ke arah Fakhri.
In the process of getting more. Seorang jaga booth di luar,” beritahu Kei.
Fakhri mengerutkan dahinya.
So you seorang jaga sini?”
Kei mengangguk dengan keluhan pendek.
“Apa boleh buat. Sekarang susah mahu jumpa orang yang betul-betul mahu kerja maa…”
So, how’s business?
Kei melepaskan keluhan panjang mendengar soalan Fakhri itu.
Too competitive. You see la, banyak kedai lain di luar sana tu. Hari ini I letak harga 1000, esok they will mark down to 900!
Fakhri tersengih sumbing.
Business is business la. Nothing good will happen if I don’t come up with new promotions at all,” tambah Kei lagi.
Fakhri terangguk-angguk lagi.
“Hei! Enough about me. Berapa lama you ada sini?” Nada Kei yang tadinya kurang bersemangat kini berubah ceria.
“Rasanya lama kut.”
Bulat mata Kei mendengar kata-kata Fakhri yang bersahaja.
Why?You mau kahwin?”
Nope. I have a business here. Big one,” ujarnya sedikit bangga.
Kei menepuk-nepuk bahu Fakhri. “Finally, I thought you dah lupa tanah air tercinta you ni.”
Sindiran Kei disambut Fakhri dengan tawa kecil.
“Mana boleh lupa. Cuma tak boleh balik kerap sangat  je, that’s all. You know how my ‘sir’ is.”
Kei terus mengangguk dengan senyum yang sudah pudar.
So finally dia hantar you balik. Walaupun for business sake, you jangan lupa kawan you haa…” Kei memberi amaran.
Fakhri tergelak kecil.
Don’t worry my friend. Kalau I lupa, I takkan jumpa you la hari ni.” Fakhri melepaskan nafas panjang. Sejujurnya, dia juga gembira kerana kali ini dia akan berlama di Malaysia. Walaupun jadualnya padat, dia tetap akan memastikan tujuannya pulang kali ini tercapai juga. Dan kali ini, dia tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Kei tiba-tiba mengerutkan dahinya.
Wei, what happened?
Kei membongkok tiba-tiba, sebelah tangannya sudah melekap di perut manakala sebelah lagi diangkat ke arah Fakhri.
You tunggu sini. I sakit perut pulak.”
Fakhri termangu-mangu apabila Kei sudah berlalu dengan terburu-buru tanpa menunggu persetujuannya. Akhirnya, dia menggeleng saja apabila Kei sudah menghilang ke belakang.Macam-macam Kei ni…
Derap tapak kasut menyapa telinganya, membuatkan Fakhri berpusing ke belakang. Seorang gadis berseluar jean, berkemeja kotak-kotak kecil, bertudung ringkas dengan beg silang di badannya melangkah masuk ke kedai tanpa memandangnya langsung.
“Helo!” Gadis itu sudah berdiri di kaunter, dua meter di sebelah kanannya. Fakhri menongkat kepalanya ke kaunter, sambil memerhatikan gadis itu yang masih tidak memandang ke arahnya.
“Helo! Ada orang tak?”
Hurm...kalau dibiarkan, lama lagi la perempuan ni memekik.
“Ada. Cik nak apa?”
Anehnya, gadis itu tidak mengendahkannya langsung, mahupun melihat ke arahnya. Jika tidak salah telinganya mendengar, gadis itu merengus tadi. Macamlah dia penyangak di sini..
“Helo! Nak berniaga ke tak ni?” Kaunter kaca itu sudah diketuk-ketuknya.
Fakhri turun dari kerusinya lalu dihampiri gadis itu.
I’m here. Cik nak apa?” Serentak, gadis itu menoleh ke arahnya dengan pandangan tidak senang, sebelum memandang ke hadapan semula.
Sekali lagi gadis itu tidak mengendahkannya, dan Fakhri terasa tercabar pula. Berani dia buat tak kisah dengan aku?
“Helo!!! Tauke kedai!!!” Suara gadis itu semakin lantang.
“Dia pergi berak! Ada apa hal?” Sengaja Fakhri menguatkan suaranya juga, dan kali ini gadis itu memandangnya dengan pandangan terkejut dan juga jengkel. Fakhri masih tegak di sebelah gadis itu. Puas kerana akhirnya gadis itu memandangnya dengan rasa ingin tahu.
“Awak bukan kerja di sini, kan?” Soal Darin dengan riak menyampah.
Fakhri menggeleng sekali.
“Jadi saya tak perlu cakap dengan awak. Saya nak jumpa tauke kedai, bukan awak.”
Fakhri menghela nafas dalam. Pertama kali dalam hidupnya, seorang gadis tidak mengendahkannya. Fakhri membelek baju yang tersarung di badannya. Selekeh sangat ke aku hari ni?
Sehelai kemeja-T dan jean lusuh yang tersarung di tubuhnya mungkin membuatkan gadis itu tidak sedar bahawa dia bukan orang sembarangan. Selalunya Fakhri tidak kisah jika tidak dilayan dengan tarafnya, tetapi situasi ini membuatkan hatinya memberontak pula mahu dipandang oleh gadis itu.
How dare her!
Fakhri baru saja mahu membuka mulut lagi tetapi Kei tiba-tiba muncul dari sebalik pintu. Riak Kei jelas terkejut apabila melihat seorang gadis di sebelah Fakhri. Wajahnya terus dimaniskan.
Sorry, sorry, I pergi tandas tadi. You mau apa? Mau beli handphone?” Kei ramah bertanya.
Fakhri menyimpan kepal tangannya seraya berlalu ke kerusinya kembali. Niatnya mahu menunjuk ajar gadis itu terus dibatalkan. Sia-sia saja melayan orang begitu.
“Fakhri, wait ha. Let me see her first,” beritahu Kei tiba-tiba, dan Fakhri mengangkat matanya. Apabila dia beralih kepada gadis itu, dua pasang mata mereka bertaut.
It’s okay. She looks desperate.” Tanpa menanti reaksi gadis tersebut, Fakhri terus mengeluarkan telefon bimbitnya. Buang masa saja mahu melayan perempuan begini. Di UK lagi ramai perempuan nakkan aku.
Fakhri dapat mendengar rengusan kasar gadis itu tetapi matanya tidak lagi melihat ke arah situ. Pasti Kei marah kerana dia menggunakan ayat yang kasar kepada pelanggannya, tetapi Fakhri sudah tidak peduli. Jika Kei mahu gantirugi kerana bakal kehilangan pelanggan pun Fakhri sanggup membayar! Gadis seperti ini tak rugi pun kalau hilang! Sombong tak bertempat! Macam ni ke perempuan Melayu sekarang?
Darin terus bercerita mengenai handphonenya yang tidak berfungsi sepenuhnya sejak hari pertama digunakan. Hendak tak hendak, Fakhri juga terpaksa mendengar. Bengkak pula hati Fakhri apabila nada gadis itu tidak seperti nada yang digunakan terhadapnya sebentar tadi. Reti pula bermanis kata. Kei juga melayan dengan baik sekali. Memang patut Kei jadi peniaga.
Sorry ha. Maybe ada silap. I check dulu. Nanti I akan call you. Boleh ha?”
Darin angguk setuju.
You ada handphone lain ka? Boleh pinjam handphone kat sini kalau you mau.”
Darin menggeleng laju dengan senyum tawar.
“Tak apa. Ni handphone adik saya. Dia ada handphone lama.”
“Okey okey. Nanti I call you. Sorry haa…”
“Tak apa. Saya balik dulu.” Selepas berbalas senyum, Darin berpusing mahu berlalu.
Sempat Fakhri mengerling dan mendapati gadis itu sedang menjelingnya tajam sebelum berlalu. Fakhri menggeleng laju apabila gadis itu sudah keluar dan menghilang di balik dinding.
“Sombong. Ingat aku nak mengurat dia agaknya. Perasan.”
Kei tersengih kambing sambil membelek telefon itu.
You gaduh dengan dia ka tadi?”
Fakhri jongket bahu, tanda malas lagi mahu memanjangkan bicara.
“Tak berbaloilah nak gaduh dengan minah sombong tu. I tak fikir pun akan berjumpa dia lagi di mana-mana,” ujarnya yakin, dan Kei cuma mampu tersenyum.

DARIN berlari-lari anak menaiki tangga. Jam sudah menunjukkan pukul 2.05 petang. Walaupun tadi dia keluar pada pukul 1.00 lebih juga, dia tetap merasa tidak sedap untuk berlambat-lambat lagi. Dia juga tidak mahu dilihat sebagai orang yang suka mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi bila semua orang di pejabat itu tahu dia diterima bekerja kerana dia adik kepada kawan baik Ria, iaitu Lily, kakaknya.
            Entah apa yang diceritakan Lily kepada Ria, walaupun dia tiada pengalaman bekerja dan keputusannya tidak berapa bagus. Namun, syukur, Ria tetap menerimanya bekerja selepas enam bulan dia menganggur dengan segulung ijazah dalam bidang Bahasa Melayu Komunikasi.
Babah mereka pergi meninggalkan mereka tiga beradik dua tahun yang lalu, ketika Darin dalam tahun akhir pengajiannya. Iris pula baru saja setahun memulakan pengajian diploma di sebuah kolej swasta ketika itu. Lily sudah berkahwin dengan Marzuki dan dikurniakan dua orang anak. Sejak kematian babah mereka, cuma Darin dan Iris saja yang tinggal di rumah teres setingkat peninggalan itu. Ibu mereka pula sudah lama tiada. Sejak Darin kecil lagi, dan Iris berusia 3 tahun.
Sejak itu, Lily yang sudah menginjak usia 10 tahun mula mengambil alih tempat seorang ibu di dalam rumah itu, dan kerana itulah Darin dan Iris amat menghormatinya. Lily merupakan ibu kedua mereka, lebih-lebih lagi selepas babah pula pergi meninggalkan mereka. Sebab itu juga Darin tidak berani membantah apabila Ria memanggilnya bekerja kerana Lily, Alongnya.
“Wei, Ria cari kau.” Sapaan Najwa sebaik saja dia menolak pintu pejabat membuatkan langkah Darin kehilangan rentaknya. Tanpa tergesa-gesa, Darin mengatur langkah ke meja dan beg silangnya ditanggalkan dari badan lalu diletakkan ke atas kerusi.
Kenapa pulak Ria nak jumpa aku ni? Baru hari ni aku terlewat masuk pejabat lepas lunch hour. Takkan Ria dah marah kut?
Dengan sedikit gentar, Darin mengatur langkah ke bilik Ria. Pintu bilik yang sememangnya terbuka luas diketuknya bagi menarik perhatian Ria yang sedang tekun menulis sesuatu. Cermin mata yang bertenggek di hujung hidung mancungnya dan rambut yang disanggul tinggi membuatkan wanita kacukan Cina-India beragama Kristian itu kelihatan begitu comel. Hampir Darin mahu tergelak melihatnya.
Darin, I need you to cover an event tomorrow.” Tanpa memanggung muka, Ria memberi arahan yang cukup ringkas.
Tetapi bagaikan bom jatuh saja rasanya bagi Darin. Rahangnya turut jatuh. Selama setahun dia di sini, walaupun posisinya merupakan penulis junior, dia tidak pernah disuruh membuat field work sebagaimana penulis lain yang bekerja dengan Elegan, majalah yang dimiliki Ria di usia yang begitu muda.
Kenapa tiba-tiba saja aku disuruh keluar ni? Tak boleh ke suruh orang lain? Sayangnya, soalan itu terlekat di kerongkongnya. Darin menelan liur. Jemarinya sudah resah berpeluh dingin.
“Erm, di mana?” Soal Darin separuh hati.
“Genting.”
Gulp! Darah gemuruh terus melanda dirinya. Banyak-banyak tempat dia mahu elakkan, tempat itu juga yang perlu dia pergi!
“Dah tak ada orang lain ke?” Gugup Darin bertanya.
Ria angkat muka dan direnungnya Darin dari balik kaca mata membuatkan Darin serba-salah.
I think you need experience as a journalist. Who knows… you could work as one later.” Ringkas dia memberi sebab.
Darin angguk-angguk sahaja, bersetuju lagaknya. Tetapi dia tahu bukan itu sebabnya. Memandangkan ekonomi agak teruk sekarang, kesannya amat terasa terutamanya bagi syarikat terbitan kecil yang kurang menyerlah seperti Elegan.
Darin tidak dapat menahan syak bahawa Ria punya rancangan untuk membuang pekerja. Oleh itu, Ria perlukan pekerja yang boleh melakukan semua pekerjaan. Contoh adalah dirinya! Jadi, seharusnya dia perlu bersyukur kerana Ria tidak mahu membuangnya, kan? Kalau bukan ini sebabnya, apa lagi? Selama setahun dia di sini, Ria tidak pernah menyuruhnya keluar mencari story.
Mati aku... bisik hati Darin.
Memang Darin serba tidak kena kerana bekerja di luar ofis, bererti bahasa perantaraan juga mungkin berbeza. Sedangkan dia tidak begitu mahir bahasa lain selain Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris pun dia tidak berapa mahir. Dia bukan ambil jurusan Komunikasi Massa yang majoriti pelajar boleh berbahasa Inggeris dengan baik.
“Tunggu apa lagi? Ask Amri for the details. He’ll go with you.
Akur, Darin melangkah keluar dari bilik Ria dengan lemah longlai. Belum sempat punggungnya mencecah kerusi, Amri, salah seorang jurugambar Elegan menghampiri mejanya.
“Hei, lady. Esok kita ada assignment sama-sama kan?” Nada teruja Amri disambutnya dengan riak beku. Malas Darin mahu memberi respons. Pertama, dia tidak begitu teruja mendapat tugasan itu. Kedua, dia tidak ingin keluar bersama Amri berdua saja!
Genting? Jauh tu! Bila pulak aku nak pergi dan balik? Mesti sampai rumah malam. Dan mesti kena balik dengan Amri juga. Argh! Malasnya nak berdua dengan mamat ni! Bentak Darin di dalam hati.
Dan kini di depannya, Amri sudah bertenggek dengan sengih lebar bagaikan kerang busuk. Darin menjelingnya sekali. Komputernya dihidupkan dengan riak bersahaja, masih lagi membiarkan sapaan Amri tidak berbalas.
Apabila Amri masih tidak menunjukkan gaya mahu beredar, Darin melepaskan keluhan malas.
“Kau tak ada kerja ke?”
Amri geleng.
“Kenapa? Kau nak aku teman kau?”
Soalan Amri dibalas dengan jelingan tajam. “Aku tanya sebab aku nak kau blah. Tak faham lagi?”
Amri tersengih lagi, bagaikan tidak kisah dengan balasan tajam Darin. “First time kan kita keluar sama?”
Darin memanahnya dengan pandangan tak percaya. Dia ingat ni date ke?
“Eh, helo! Aku tak ingin nak keluar dengan kau! Esok tu hal kerja. Tak faham-faham lagi ke? Kau nak makan stapler ni eh?” Diacu stapler ke muka Amri, barulah dia terhegeh-hegeh meninggalkan Darin dengan sengihnya yang meleret.
Darin merengus perlahan. Meluat habis. Sejak dia sudah malas mahu melayan lelaki, ramai pula lelaki sengal yang terhegeh-hegeh nak berkepit. Ikutkan hati, nak saja diberi makan kasut. Tapi nanti jadi headline pulak. Kacau betul.
“Time aku terhegeh-hegeh dulu, semua lari. Sekarang ni lain pulak. Entah apa-apa...tak faham betullah!”
Darin bengang dan menyandar di kerusinya. Tapi memang betul kata Amri, dia tak pernah keluar makan dengan kawan sekerja yang lain, apatah lagi lelaki walaupun atas urusan kerja. Lunch hour selalunya dia membeli nasi bungkus dan makan di pejabat seorang diri. Entah kenapa, dia lagi selesa membina jarak begitu.
Tapi kes esok... dia ada ‘date’ dengan Amri! Genting pulak tu.
“Eee...aku benci betul pergi ke tempat yang ramai orang. Rimas jiwa raga. Bukan best pun! Penat ada la!” Darin sudah macam nak hantuk kepala di atas meja saja.
Haih, kenapalah dalam ramai-ramai staf, Ria nak train aku sebagai jurnalis ni? Kenapa esok harinya?

Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.

PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment